Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin berkata deraf Rang Undang-Undang (RUU) mengenai akta ini akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.
Katanya penggubalan RUU ini penting memandangkan banyak laporan mengenai isu kezaliman terhadap haiwan dilaporkan sejak kebelakangan ini.
"Deraf RUU Kebajikan Haiwan ini telah melalui semakan dan penambahbaikan sebelum ia dihantar ke Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.
Menurut beliau terdapat peraturan-peraturan dalam RUU ini yang melibatkan perlesenan, pendaftaran, peraturan untuk kompaun, kadar fi, pelantikan pegawai kebajikan haiwan dan peraturan mengeluarkan notis peningkatan.
Ia dijangka akan dibacakan pada sesi Parlimen akan datang.
Katanya RUU ini, apabila ia terpakai akan memperuntukkan denda dari RM20,000 hingga RM100,000 bagi kesalahan pertama jika terdapat pihak atau individu didapati bersalah menzalimi haiwan.
Tambahnya, pihaknya juga akan memastikan akta itu nanti akan diselaraskan dengan Akta Binatang 1953 yang baru digubal pejabat Peguam Negara dan menunggu isyarat boleh diguna pakai.
Dr Abd Aziz berkata, Akta Binatang 1953 menetapkan denda maksimum RM50,000 berbanding RM5,000 pada masa sekarang bagi kesalahan menzalimi haiwan.
Mengulas lanjut beliau berkata undang-undang yang lebih tegas ini dibuat untuk melaksanakan perubahan ketara terhadap kebajikan dan kesejahteraan haiwan ke arah mewujudkan masyarakat penyayang dalam negara maju.
"Kita mahu wujudkan masyarakat moden dan prihatin. Tak susah negara lain dah buat.
"Di Australia misalnya kucing tak boleh dilepaskan keluar rumah dan perlu dipakaikan loceng," katanya.
Katanya, peraturan-peraturan mengenai kebajikan haiwan ini bagaimanapun akan dilakukan secara berperingkat dimulakan dengan pendaftaran dan perlesenan.
Bercakap mengenai produk-produk daging import yang didakwa mengandungi campuran daging tidak sepatutnya seperti daging kuda, beliau berkata perkara itu tidak berlaku.
Bagaimanapun bagi meyakinkan orang ramai terhadap produk-produk ini pihaknya akan berkerjasama dengan jabatan-jabatan di bawah beberapa kementerian untuk memberi kemantapan dari segi penguatkuasaan.