Khamis, 6 November 2014

PM,TPM, kerabat ada hak dapat nombor plat kenderaan percuma

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed menjelaskan bahawa Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri mempunyai hak untuk mendapatkan nombor plat kenderaan yang mereka kehendaki.
Katanya, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri, mempunyai hak untuk mendapatkan 2 nombor plat yang mereka kehendaki, manakala Yang Dipertuan Agung pula mempunyai hak mendapat sebanyak 7 nombor plat.
“Pemberian nombor plat kepada mereka ini diberikan secara percuma, kerana itu adalah hak dan kelebihan yang mereka miliki sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, dan Menteri serta kerabat diraja,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Jelas Ahli Parlimen Pulai itu, mereka diberikan hak untuk dapatkan nombor plat kenderaan pada setiap kementerian yang mereka terajui.
“Terpulang kepada mereka untuk gunakan nombor tersebut pada kenderaan rasmi atau kenderaan persendirian kerana itu adalah hak mereka,” ujarnya lagi.
Dalam pada masa yang sama, Jazlan turut menyatakan pada tahun hadapan sistem e-bidaan akan digunakan bagi membuat bidaan bagi membeli nombor plat kenderaan.
“Sistem e-bidaan ini digunakan bagi mengurangkan penggunaan tenaga kerja manusia dan bagi menjaga ketelusan,” katanya.
Dalam pada itu, PAC sendiri menanyakan kepada pihak JPJ berkenaan mengapakah nama-nama pemenang bidaan nombor plat itu dirahsiakan.
“JPJ cakap mereka hendak menjaga sensitiviti tetapi PAC cakap buat apa untuk jaga sensitiviti.
“PAC juga akan rekemenkan supaya nama pemenang nombor plat tersebut didedahkan,” katanya.