Sabtu, 23 Februari 2013

Akta Laut Wilayah 2012 Menggugat Hak dan Kedaulatan Negeri Sabah

Sumber : Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Sabah 04/02/2013

“Bukan setakat  Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak patut menolak akta ini, malah setiap wakil ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah dan Sarawak perlu menyatakan pendirian mereka terhadap akta ini.”Isnin, 04 Februari 2013, Lahirul Latigu, Ketua Pemuda PAS Sabah.

Persidangan Dewan Rakyat yang bersidang pasa April Tahun 2012 lalu telah meluluskan penggubalan Rang Undang-undang Akta Laut Wilayah 2012. Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semasa sesi penggulungan rang undang-undang ini, telah mengatakan sebab penggubalan undang-undang tersebut adalah kerana memandangkan tiada undang-undang persekutuan lain yang menetapkan lebar laut wilayah Malaysia selain daripada Ordinan No.7 1969 yang dibuat dibawah Prokamasai Darurat 1969 dan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 (Akta 311).

Antara isi kandungan Akta ini ialah :

1.    Seksyen 3, Akta Laut Wilayah 2012:

Bagi maksud Akta Pelantara Benua, 1966 (Akta 83), Akta Perlombongan Petroleum 1966 (Akta 95), Kanun Tanah Negara (Akta 56/65), dan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tanah yang berkuat kuasa di Sabah dan Sarawak, apa-apa sebutan mengenai laut wilayah dalamnya hendaklah berhubung dengan mana-mana wilayah yang ditafsirkan sebagai sebutan mengenai bahagian laut itu yang berdampingan dengan pantai wilayah itu tidak melebihi 3 batu nautika diukur dari garis air surut.

2.    Seksyen 4, Akta Laut Wilayah 2012:

Kedaulatan berkenaan dengan laut wilayah, dan berkenaan dengan dasarnya yang tanah dibawahnya, terletak hak pada dan dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai hak Malaysia.


Hal ini jelas bertentangan dengan section (2) of the North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954 yang menyebut 

“The Boundaries of the colony of North Borneo are hereby extended to include the area of the continental shelf being the seabed and its subsoil which lies beneath the high seas contiguous to the territorial waters of North Borneo”

Kesannya, Sabah bukan sahaja bakal kehilangan pantai benua benua yang sepatutnya tertakluk di bawah kerajaan negeri. Tetapi kedaulatan sabah dan Sarawak juga terjejas! Hal ini kerana  walaupun di dalam Perkara 2 Perlembagaan Malaysia ada menyatakan bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang :

a)    Menerima masuk Negeri-negeri lain ke dalam Persekutuan.

b)    Mengubah sempadan mana-mana Negeri

Tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang di buat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-raja.



Oleh itu, Rakyat Malaysia terutama sekali Sabah dan Sarawak mesti menolak Akta ini kerana bukan sahaja kedaulatan negeri Sabah terjejas bahkan Rakyat Sabah berkemungkinan besar bakal akan kehilangan hak dalam pembayaran royalti petroleum. Bahkan, tiada jaminan bahawa setiap setiap penemuan di dalam  pelantar benua tersebut adalah milik negeri Sabah.

Dipihak SBS timbul persoalan, bagaimana akta ini boleh lulus? Apakah Wakil-wakil Parlimen dari Sabah tidak mengambil berat perbahasan ini ketika di Parlimen apabila ianya berkait dengan hak Sabah?