Jumaat, 16 November 2012

Mubarak gesa anggota Islam PKR keluar parti

KUALA LUMPUR: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) hari ini menggesa ahli PKR yang beragama Islam mengkaji semula keahlian mereka dalam parti itu berikutan kenyataan kontroversi Naib Presidennya Nurul Izzah Anwar berhubung dengan kebebasan beragama. Ketua Penerangan Mubarak Abdul Rahmman Sulaiman berkata ahli-ahli PKR beragama Islam harus bertanya mengapakah sampai kini Nurul Izzah belum bertaubat atau menarik balik kenyataannya walaupun dinasihatkan Mufti Negeri Perak Tan Sri Harussani Zakaria supaya berbuat demikian. “Mengapa Nurul Izzah enggan menarik balik kenyataannya, adakah dia percaya dengan kenyataan yang dibuatnya,” kata beliau. Mufti berkenaan dilaporkan semalam menasihatkan Nurul Izzah bertaubat serta menarik balik kenyataan berhubung kebebasan beragama pada sebuah forum di Subang Jaya baru-baru ini kerana ia mengelirukan dan membawa implikasi kepada akidah. Laporan portal berita pro-pembangkang pada 3 Nov lepas memetik Nurul Izzah, yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai, sebagai berkata: “Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu. “Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama…bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata,” katanya pada forum bertajuk “Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?”. Sebelum ini, bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa juga menyifatkan kenyataan Nurul Izzah mengelirukan serta beliau meminta anak sulung Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim itu supaya bertaubat. Anwar mendakwa kenyataan anaknya telah diputarbelit oleh media pro kerajaan tetapi seorang peserta forum itu yang merupakan seorang peguam tampil menyatakan bahawa Nurul Izzah memang membuat kenyataan itu yang berbangkit daripada soalan beliau seperti dilaporkan dan dirakam. Abdul Rahman berkata semua orang Islam harus menjaga kemurnian akidah termasuk ahli-ahli PKR yang beragama Islam. “Kalau ahli-ahli PKR hendak menjaga akidah, mereka tiada pilihan lain kecuali memikirkan semula kedudukan mereka dalam parti tersebut,” kata beliau.

Komen saya, bercakap soal agama ni biar adil. Bukan kerana pembangkang riuh se Malaysia, bila dari BN  senyap seribu bahasa. Kalau pihak-pihak tertentu dan ulama sendiri pilih kasih dalam menegur bab-bab agama ni, itu kena bertaubat jugalah.