Jumaat, 9 November 2012

Bersangka Baik


Assalamu'alaikum..
Untuk pengetahuan ustaz..saya sering mencari salah suami..suatu hari saya ada membaca mesej dlm handset suami dan menuduh yg bukan2 pada suami..sdangkan apa yg saya katakan tu silap dan tidak masuk akal..lalu suami baran teramat sgt lalu terlepas ckp 'kalau tengok handset abg lagi jatuh talak'...utk pengetahuan ustaz ketika itu saya sakit dan kami terkena santau pemisah dan masih didalam rawatan perubatan...soalan saya sejauh mana jatuhnya talak itu ustaz...kalau saya cuba nk tgk tapi tak boleh sbb dah lock adakah jatuh talak itu...dan juga kalau handset suami berbunyi lalu saya terpandang adakah jatuh talak juga ustaz...harap dapat membantu.. trima kasih wassalam.

Jawapan

Islam telah mengajar kita supaya bersangka baik (husnuzon) kepada orang lain, jangan sesekali bersangka buruk kerana bersangka buruk itu boleh timbul fitnah. Selain dari itu juga ia boleh menyebabkan hubungan sesama Islam putus dan berpecah belah. Tidak salah kita bersangka baik kepada orang lain dan ia tidak merugikan kita. bila bersangka baik, secara automatik hubungan kita akan jadi baik dan mesra dengan orang tersebut. Firman Allah SWT :

 “Dan janganlah Engkau mengikut apa yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Al-Isra : 36)

Setiap apa yang kita ragui selidikilah dahulu dengan bertanya kepada orang tersebut, agar kita memperolehi jawapan atas keraguan kita. Jangan pula bertanya kepada musuhnya yang sudah pasti jawapan mereka akan mengiyakan apa yang kita ragui. Seperti situasi politik sekarang, orang yang dituduh liwat, berzina, politik dan sebagainya tidak dirujuk kepadanya. Malah dirujuk kepada seteru politiknya, sudah pasti jawapan yang kita perolehi buruk dan fitnah. Perbuatan fitnah adalah satu kesalahan yang paling besar dengan dosa-dosa yang lain. Firman Allah SWT :

 “Dan (ingatlah Bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan” (Al-Baqarah : 191)

Sepatutnya suami dan isteri tidak perlu ada apa-apa perasaan yang negatif terhadap pasangannya, kerana perasaan tersebut akan membuatkan hubungan mereka menjadi tidak selesa dan tidak harmoni. Ini boleh menyebabkan timbul rasa tidak selesa di antara pasangan dengan kita, lama-lama boleh menyebabkan rasa bosan dan boleh berlaku pergaduhan dan penceraian. Menjadi binasa ialah anak-anak yang tidak tahu apa-apa, mereka hilang kasih sayang dari ibu bapa dan hidup mereka diabaikan. Maka mereka mencari ketenangan dan keseronokan di luar rumah kerana mereka menganggap rumah itu adalah neraka bagi mereka. Timbullah masalah sosial dikalangan anak-anak yang terbiar dari kedua ibu bapa disebabkan pergaduhan dan mementingkan diri masing-masing.

Dari mula kita menerima pasangan kita semasa bercinta sehingga berkahwin dengan mengatakan “saya terima awak seadanya, segala kelemahan dan kecacatan awak itu juga saya terima. Kita teruskan hubungan dengan apa cara sekali pun walaupun berbagai rintangan dan dugaan yang perlu kita hadapi.” Bila renung kata-kata ini ibarat seperti ikrar seorang anggota komando yang sanggup mati di medan perang demi mempertahankan negara tercinta ini. Bila dah kawin semua ini menjadi basi dan semua kenangan yang ada tidak lagi manis malah semua menjadi pahit.

Masalah lafaz taklik pula, sebenarnya lafaz tersebut berlaku sampai bila-bila walaupun talipon tersebut tidak boleh dibuka. Hal ini merujuk kepada lafaz taklik suaminya “bila tengok hanset jatuh talak”. Kalau niat suami hanya hensetnya sahaja, maka lain-lain henset tidak dikira dan awak boleh lihat henset lain dari henset suami anda. Jika suami niat semua henset yang ada walaupun bukan hensetnya, maka awak tidak boleh lihat semua henset termasuk henset awak sendiri.

Tempoh masa tidak disebut oleh suami anda, jadi ia berlaku sampai bila-bila sehingga jatuh talak taklik itu apabila awak melihat henset. Jumlah talak yang jatuh ialah satu dan dihitung dengan jumlah talak yang pernah diberi oleh suami sebelum ini. Jika ia sudah cukup 3 kali talak, maka suami tidak boleh lagi rujuk kembali dengan bekas isterinya kecuali berlaku perkahwinan dengan lelaki lain dan bercerai tanpa adanya paksaan dan rancangan seperti cina buta.

Nasihat saya, dapatkan khidmat nasihat dari Jabatan Agama Islam yang berdekatan tentang masalah awak dan suami awak ini. Ini bertujuan untuk anda dan suami mendapatkan kepastian tentang lafaz taklik yang diberikan oleh suami.