PENGENALAN Kesedaran awam dan badan bukan kerajaan (NGO)
terhadap kebajikan haiwan dewasa ini telah meningkat. Bagi menangani
isu-isu kebajikan haiwan maka Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah
berusaha melaksanakan program seperti mempromosikan Amalan Penternakan
Haiwan Yang Baik ["Good Animal Husbandry Practice"] dan menganjurkan
kempen-kempen menyayangi haiwan. Dalam pada itu, pihak Jabatan juga
mengambil tindakan mendakwa mereka yang melakukan kezaliman terhadap
haiwan ke Mahkamah.
2.TAFSIRAN HAIWAN Di bawah
seksyen 43, Bahagian IV, Akta Binatang 1953 (Semakan-2006) (Akta 647)
"haiwan" bermaksud, sebarang makhluk yang hidup selain daripada manusia
dan termasuk mana-mana haiwan, burung, ikan, reptilia atau serangga,
samaada liar atau jinak.
3.PERBUATAN MENZALIMI HAIWAN ADALAH SUATU KESALAHAN (a)Menurut perenggan 44(1)(a) hingga (g), seseorang adalah bersalah melakukan kezaliman terhadap haiwan jika-
(i)secara zalim memukul, menendang, menganiaya, terlebih tunggang,
terlebih pandu, terlebih muatan, mendera, memarahi atau menakutkan
mana-mana haiwan; atau
(ii)menyebab atau penyebab atau sebagai pemilik membenarkan mana-mana haiwan untuk digunakan sedemikian; atau
(iii)sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap mana-mana haiwan di
dalam kurungan atau semasa memindahkannya dari satu tempat ke satu
tempat yang lain, cuai dalam membekalkan haiwan tersebut dengan makanan
atau air yang mencukupi; atau
(iv)dengan sewenang-wenangnya
atau tanpa sebab yang munasabah melakukan atau meninggalkan apa-apa
perbuatan, menyebabkan apa-apa kesakitan atau penderitaan yang tidak
wajar, atau, sebagai pemunya, membenarkan apa-apa kesakitan atau
penderitaan yang tidak wajar kepada mana-mana haiwan; atau
(v)menyebabkan, mengakibatkan atau, sebagai pemilik, membenarkan untuk
ditahan, diangkut, diangkat atau dibawa apa-apa haiwan dalam cara atau
kedudukan yang menyebabkannya kesakitan atau penderitaan yang tidak
sepatutnya; atau
(vi)mengambil bekerja atau menyebabkan atau
mengakibatkan atau, sebagai pemilik, membenarkan untuk diambil bekerja
bagi apa-apa prkerjaan atau tugasan, mana-mana haiwan yang mana
disebabkan sebarang penyakit, kelemahan tertentu, luka atau bengkak,
atau dalam hal lain tidak layak untuk diambil bekerja; atau
(vii)menyebabkan, mengakibatkan atau membantu bagi melaga atau
mengumpankan mana-mana haiwan atau menyimpan, mengguna, mengurus, atau
menjalankan atau membantu di dalam pengurusan mana-mana premis atau
tempat bagi tujuan, atau sebahagiannya bertujuan, untuk melagakan atau
mengumpan mana-mana haiwan, atau membenarkan mana-mana premis atau
tempat diselenggara, diurus atau digunakan, atau menerima atau
menyebabkan atau mengakibatkan mana-mana orang menerima, wang bagi
membenarkan seseorang untuk masuk ke premis atau tempat sedemikian.
(b)Perbuatan menzalimi haiwan apabila disabitkan oleh Mahkamah akan
dikenakan denda RM50,000/= atau penjara untuk tempoh satu tahun atau
kedua-duanya sekali.
(c)Pemilik haiwan adalah dianggap
telah membenarkan suatu kezaliman sekiranya dia gagal melakukan
penjagaan dan penyeliaan yang munasabah dalam melindungi haiwan.
(d)Di bawah subseksyen 44(3) Akta yang sama, perlakuan atau peninggalan
apa-apa perbuatan dalam proses mematikan, atau persediaan untuk
mematikan, mana-mana haiwan sebagai makanan untuk manusia adalah TIDAK
TERPAKAI bagi kesalahan kezaliman melainkan tindakan mematikan tersebut
atau persediaan berkenaan disertakan dengan penderitaan yang tidak
berpatutan.
4.KUASA PIHAK BERKUASA VETERINAR (a)Menurut seksyen 45, mana-mana pihak berkuasa veterinar boleh-
(i)menangkap tanpa warrant mana-mana orang yang dilihatnya melakukan mana-mana kesalahan menzalimi haiwan;
(ii)memberhentikan dan memeriksa mana-mana haiwan di atas jalanraya
atau tempat-tempat awam seandainya ia mempunyai alasan untuk mempercayai
bahawa satu kesalahan telah atau sedang dilakukan; dan
(iii)MENYITA mana-mana haiwan, kenderaan dan artikel yang ada kaitan dengan kesalahan.
(b) Mana-mana haiwan yang telah di sita hendaklah di bawa ke PAUN ATAU
PUSAT VETERINAR dan boleh, tertakluk kepada apa-apa perintah berkaitan
haiwan iu oleh seorang Magistrate, DITAHAN di situ sehingga orang kena
tuduh dibicarakan.
5.PENGADUAN
Sebarang maklumat atau aduan berkaitan pelakuan kezaliman terhadap
haiwan bolehlah dilaporkan segera kepada Pegawai Penguatkuasa (sebagai
Pihak Berkuasa Veterinar) di Jabatan Perkhidmatan Veterinar seperti di
perkara D.