Ahad, 21 Jun 2015

Satu Kesalahan Besar Menzalimi Haiwan...

PENGENALAN
Kesedaran awam dan badan bukan kerajaan (NGO) terhadap kebajikan haiwan dewasa ini telah meningkat. Bagi menangani isu-isu kebajikan haiwan maka Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah berusaha melaksanakan program seperti mempromosikan Amalan Penternakan Haiwan Yang Baik ["Good Animal Husbandry Practice"] dan menganjurkan kempen-kempen menyayangi haiwan. Dalam pada itu, pihak Jabatan juga mengambil tindakan mendakwa mereka yang melakukan kezaliman terhadap haiwan ke Mahkamah.

2.TAFSIRAN HAIWAN
Di bawah seksyen 43, Bahagian IV, Akta Binatang 1953 (Semakan-2006) (Akta 647) "haiwan" bermaksud, sebarang makhluk yang hidup selain daripada manusia dan termasuk mana-mana haiwan, burung, ikan, reptilia atau serangga, samaada liar atau jinak.

3.PERBUATAN MENZALIMI HAIWAN ADALAH SUATU KESALAHAN
(a)Menurut perenggan 44(1)(a) hingga (g), seseorang adalah bersalah melakukan kezaliman terhadap haiwan jika-
(i)secara zalim memukul, menendang, menganiaya, terlebih tunggang, terlebih pandu, terlebih muatan, mendera, memarahi atau menakutkan mana-mana haiwan; atau

(ii)menyebab atau penyebab atau sebagai pemilik membenarkan mana-mana haiwan untuk digunakan sedemikian; atau

(iii)sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap mana-mana haiwan di dalam kurungan atau semasa memindahkannya dari satu tempat ke satu tempat yang lain, cuai dalam membekalkan haiwan tersebut dengan makanan atau air yang mencukupi; atau

(iv)dengan sewenang-wenangnya atau tanpa sebab yang munasabah melakukan atau meninggalkan apa-apa perbuatan, menyebabkan apa-apa kesakitan atau penderitaan yang tidak wajar, atau, sebagai pemunya, membenarkan apa-apa kesakitan atau penderitaan yang tidak wajar kepada mana-mana haiwan; atau

(v)menyebabkan, mengakibatkan atau, sebagai pemilik, membenarkan untuk ditahan, diangkut, diangkat atau dibawa apa-apa haiwan dalam cara atau kedudukan yang menyebabkannya kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya; atau

(vi)mengambil bekerja atau menyebabkan atau mengakibatkan atau, sebagai pemilik, membenarkan untuk diambil bekerja bagi apa-apa prkerjaan atau tugasan, mana-mana haiwan yang mana disebabkan sebarang penyakit, kelemahan tertentu, luka atau bengkak, atau dalam hal lain tidak layak untuk diambil bekerja; atau

(vii)menyebabkan, mengakibatkan atau membantu bagi melaga atau mengumpankan mana-mana haiwan atau menyimpan, mengguna, mengurus, atau menjalankan atau membantu di dalam pengurusan mana-mana premis atau tempat bagi tujuan, atau sebahagiannya bertujuan, untuk melagakan atau mengumpan mana-mana haiwan, atau membenarkan mana-mana premis atau tempat diselenggara, diurus atau digunakan, atau menerima atau menyebabkan atau mengakibatkan mana-mana orang menerima, wang bagi membenarkan seseorang untuk masuk ke premis atau tempat sedemikian.
(b)Perbuatan menzalimi haiwan apabila disabitkan oleh Mahkamah akan dikenakan denda RM50,000/= atau penjara untuk tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali.

(c)Pemilik haiwan adalah dianggap telah membenarkan suatu kezaliman sekiranya dia gagal melakukan penjagaan dan penyeliaan yang munasabah dalam melindungi haiwan. 

(d)Di bawah subseksyen 44(3) Akta yang sama, perlakuan atau peninggalan apa-apa perbuatan dalam proses mematikan, atau persediaan untuk mematikan, mana-mana haiwan sebagai makanan untuk manusia adalah TIDAK TERPAKAI bagi kesalahan kezaliman melainkan tindakan mematikan tersebut atau persediaan berkenaan disertakan dengan penderitaan yang tidak berpatutan.
4.KUASA PIHAK BERKUASA VETERINAR
(a)Menurut seksyen 45, mana-mana pihak berkuasa veterinar boleh-
(i)menangkap tanpa warrant mana-mana orang yang dilihatnya melakukan mana-mana kesalahan menzalimi haiwan;

(ii)memberhentikan dan memeriksa mana-mana haiwan di atas jalanraya atau tempat-tempat awam seandainya ia mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa satu kesalahan telah atau sedang dilakukan; dan

(iii)MENYITA mana-mana haiwan, kenderaan dan artikel yang ada kaitan dengan kesalahan.
(b) Mana-mana haiwan yang telah di sita hendaklah di bawa ke PAUN ATAU PUSAT VETERINAR dan boleh, tertakluk kepada apa-apa perintah berkaitan haiwan iu oleh seorang Magistrate, DITAHAN di situ sehingga orang kena tuduh dibicarakan.
5.PENGADUAN
Sebarang maklumat atau aduan berkaitan pelakuan kezaliman terhadap haiwan bolehlah dilaporkan segera kepada Pegawai Penguatkuasa (sebagai Pihak Berkuasa Veterinar) di Jabatan Perkhidmatan Veterinar seperti di perkara D.