Khamis, 6 November 2014

Dapat sijil kelahiran bukan jaminan diberi taraf warganegara: Jainab

KOTA KINABALU:  Pemberian sijil kelahiran kepada kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Sabah tidak bermakna seseorang itu secara automatik mendapat taraf warganegara dan menikmati keistimewaan sebagai rakyat Malaysia.
Justeru, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata rakyat Sabah tidak harus bimbang dengan pemberian sijil kelahiran itu.
“Saya mengalu-alukan pandangan peguam dan menteri bagi kanak-kanak jalanan di Sabah diberi sijil kelahiran, namun ia memerlukan perhatian dan pemerhatian rapi Jabatan Pendaftaran Negara Sabah untuk mengeluarkan sijil kelahiran itu,” katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.
Jainab berkata situasi itu dapat mencegah sebarang masalah dan gejala sosial yang berlaku di kalangan mereka terutama apabila mendapat peluang belajar di sekolah bermula dari peringkat rendah.
Beliau mengulas laporan akhbar tempatan hari ini yang memetik Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen sebagai berkata Sabah perlu mengiktiraf kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dan memberi mereka sijil kelahiran meskipun mendapat bantahan ahli politik.
Paulsen dipetik sebagai berkata pemberian sijil kelahiran adalah hak asasi semua kanak-kanak dan tiada kaitan dengan kewarganegaraan.
Dalam pada itu, Jainab mencadangkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengadakan kursus berkaitan bagi memberi pemahaman jelas berhubung isu pemberian sijil kelahiran itu, taraf pemastautin tetap mahupun taraf kewarganegaraan.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata Putrajaya akan bekerjasama dengan JPN dan Kementerian Pendidikan untuk memberi sijil kelahiran bagi tujuan persekolahan kepada kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Sabah atas dasar peri kemanusiaan.
Ahmad Zahid berkata permasalahan mengenai status kanak-kanak tanpa warganegara dapat ditangani dalam perbentangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai isu Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah tidak lama lagi.
– BERNAMA